Monday, August 8, 2011

:Ibrah dari sebuah kematian:


Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."

Tatkala kita lahir ke bumi ini kita dalam keadaan menangis dan ketika mati kita meninggalkan tangisan dari orang terdekat kita. Saat itu baru kita sedar, betapa singkatnya hidup, betapa menyesalnya dengan waktu terbuang begitu saja, baru sedar kalau hidup tiada lain hanya untuk beribadah. 

Ketika diingati kembali pemergian dua orang sahabat saya, kesannya dapat saya rasai hingga kini. Mengenali mereka sejak di matrik IIUM bukan jangka masa yang singkat secara tak langsung pemergian mereka turut saya rasai. Mungkin inilah direct message dari Allah untuk mengingatkan diri ini bahawa satu hari nanti saya pasti akan dimatikan olehNya. Satu hari nanti diri ini akan mereput dan membusuk juga di dalam tanah. Satu hari nanti diri ini akan disoal oleh munkar dan na’kir.

Banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita pelajari daripada kematian. Kita sendiri tak tahu bila kematian akan datang menjemput kita. Tanpa kita sedari, kita telah bertunang dengan kematian dan bila-bila masa kita akan diijabkabulkan.

Namun persoalannya, bersediakah kita? Bukan sekadar bersedia untuk tinggalkan dunia yang fana tapi telah bersediakah kita dengan bekalan untuk dibawa ke sana?Mari kita fikirkan bersama.

Saya teringat pada rakan-rakan yang telah meninggalkan saya. Bagaimana keadaan mereka disana? Semoga ibrah kematian sentiasa membuat saya sedar bahawa hidup ini hanya sementara.

No comments: