Friday, November 23, 2012
:bersama:
Dulu,
Kita mendengar lagu kegemaran kita bersama,
Kita melewati tempat kegemaran kita bersama,
Kita berkongsi hobi yang sama,
Kita berkongsi cerita kita bersama,
Hidup kita sentiasa bersama.
Kini,
Hanya aku yang mendengar lagu kegemaran kita,
Hanya aku yang melewati tempat kegemaran kita,
Hanya aku yang bercerita,
Hanya aku yang sendirian kerana aku tahu kita sudah terpisah jauh,
Kita tidak mampu seperti dulu,
Kita membawa haluan sendiri yang tiada lagi makna bersama.
Namun,
Dari kejauhan persahabatan kita masih mekar dihati
Seperti dulu kerana istilah kebersamaan itu wujud dari hati yang tahu menghargai
Erti persahabatan.
Wednesday, November 14, 2012
:maal hijrah:
Salam kerinduan, salam perpisahan, salam tahun baru. Begitu pantas masa itu berlalu. Baru semalam saya melalui jejak perjuangan itu dan kini semuanya tinggal sebagai lambaian perpisahan. Pertambahan tahun perlu seiring dan sejajar dengan pertambahan ilmu dan kemahiran. Saya kembali bermuhasabah diri. Di mana letaknya saya dalam ‘teater kehidupan’ ini. Teater yang tidak akan pernah berhenti dan kita adalah pelakon yang membintangi teater ini. Teater tanpa skrip. Teater yang memberi kebebasan pada kita untuk memilih jalan cerita kita sendiri. Jadilah pelakon teater yang menjadi sebutan bukan oleh penduduk bumi tapi oleh penduduk langit. Tepuk dada tanya akal dan iman.
Ujian dan mehnah sepanjang melayari arus kehidupan ini banyak membuat saya berfikir makna kehambaan. Sehebat mana pun individu itu kita tetap hamba. Hamba yang sentiasa perlukanNYA dalam setiap nafas kehidupan kita. DIA mengetahui keperluan kita dan memberi seiring dengan keperluan kita bukan kehendak kita. Sewajarnya makin diuji makin kuat rasa kebergantungan kita padaNYA. Hargailah nikmat iman yang telah diberikan pada kita. Ahlan wa sahlan tahun baru. Kedatanganmu dinanti. Namun, adakah saya masih mampu untuk melayari tahun ini? Persoalan yang saya sendiri tiada jawapan. Moga-moga sinar pagi tahun baru bakal memberi kita motivasi untuk terus berjuang dan mangalas tanggungjawab kita sebagai ‘khalifah’.
Terus tersenyum, wahai cahaya kegembiran…
Friday, October 19, 2012
:‘Taman budi dan ilmu’:
6 tahun saya bersama ‘taman budi dan ilmu’. Jangka masa yang terlalu lama bagi sesetengah pihak tapi tidak bagi saya. Terasa baru semalam saya bersama taman ini.
Taman yang banyak mematangkan saya. Taman yang banyak mengajar saya erti kehidupan. Taman yang banyak memperkenalkan saya erti kehambaan. Taman yang banyak memperkenalkan saya erti tanggungjawab. Taman yang banyak memperkenalkan saya erti kemanusian.
Saya terlalu sayangkan taman ini. Kenangan bersamanya terlalu indah.
Terasa diri ini masih mentah untuk berhadapan dengan masyarakat luar. Masih banyak ruang kosong dalam diri ini. Ilmu terlalu cetek. Pengalaman masih kurang.
Namun, saya akui saya harus ke hadapan untuk menghadapi realiti kehidupan. Saya tidak boleh lari dari realiti kehidupan. Mahu atau tidak saya perlu berani. ‘What you get from this university, give back to this ummah. They need you’, monolog sendirian.
Wednesday, September 19, 2012
:pelajar:
Diterima kembali sebagai pelajar adalah hadiah terindah buat saya. Saya akan bergelar pelajar kembali. Mengalas kembali tanggungjawab untuk memikul amanah ilmu ini.
Tidak dinafikan perjalanan hidup terlalu sukar, namun itulah harga yang perlu saya bayar. Sebuah kepahitan dan kepenatan. Tiada lagi rakan seperjuangan yang sama-sama mengalas amanah dan berkongsi rasa. Saya harus cekal. Saya harus tabah.
Perjalanan ini terlalu panjang dan jalannya berliku. Itulah dugaan yang perlu ditempuhi oleh seorang pelajar.
Saya tidak pinta dipermudahkan liku perjalanan ini tapi saya pinta agar saya dicekalkan hati ini.
Tuesday, September 11, 2012
:UPSR:
"Teacher, doakan kami untuk UPSR."
Itulah antara luahan dan impian adik-adik didikku.
Buat adik-adik sekalian, ilmu itu adalah harta yang terlalu bernilai. Adakalanya terlalu susah untuk kita memperolehinya namun itulah harga yang perlu kita bayar kerana itulah tuntutan agama kita. Selagi kita bernyawa belajarlah tanpa jemu. Never give!!!
Thursday, September 6, 2012
:terlalu lama:
Salam keceriaan, salam persahabatan, salam kegembiraan.
Terlalu lama pelangi ini terbiar sepi dek kerana kebuntuan untuk menulis ditambah pula dengan pelbagai dugaan yang melanda. Namun, alhamdullilah janji Allah setiap kesusahan pasti ada kesenangannya.
Ya Allah permudahkan urusanku ini.
Wednesday, July 11, 2012
:adakah itu rezeki kita?:
Situasi A
Situasi B:
Rakan J: Awak dah bekerja?
Saya: Alhamdullilah, saya sudah bekerja.
Rakan J: Saya belum bekerja lagi, malah sudah banyak kali saya cuba memohon namun semuanya mengecewakan saya. Tapi kali ini, saya ditawarkan untuk bekerja di suatu tempat. Saya akan memohon dan berusaha.
Saya: InsyaAllah, Dia pasti memudahkan perjalanan awak. Rezekinya melata di dunia ini.
Rakan B: Awak dah bekerja?
Saya: Alhamdullilah, saya sudah bekerja.
Rakan B: Saya pun, siap dapat jawatan yang saya suka lagi.
Saya: Alhamdullilah. Rezeki awak.
Rakan B: Kita kena bijak, tengok la kalau kita kenal ‘orang dalam’ mesti senang nak dapat kerja.
Saya: Emm…
Dua situasi yang berbeza dalam mencapai satu matlamat. Persoalan yang sering menjadi tanda tanya adalah, adakah cara itu boleh menghalalkan matlamat? Adakah itu juga jalan terbaik dalam mencapai apa yang kita kehendaki? Tepuk dada, tanya fikiran yang matang dan rasional.
Mungkin bagi sesetengah pihak ini hanyalah cicipan kisah yang selalu didengari namun adakah kita terfikir adakah ini jalan yang terbaik sekaligus menguntungkan ummah ini? Ummah ini terlalu rapuh, ummah ini makin parah, ummah ini sudah tidak tahu nilai sebenar erti bertanggungjawab. Parah yang akan menular menjadi barah.
Tatkala kita selalu di momokkan dengan salah laku ummah ini kita sering menyalahkan sesetengah pihak dan akhirnya untuk meloloskan diri dari isu ini, kita mula menunding jari pada pihak lain.
Pernah atau tidak kita berfikir, adakah kita adakah ada hak orang lain yang kita zalami?
Bagaimana jika ada insan lain yang lebih layak dari kita namun dek kerana kemahuan yang melampau kita menzalimi insan lain dengan mengambil hak orang lain. Zalim yang tersembunyi, itu tafsiran saya. Ukurlah sesuatu mengikut acuan yang sebenar. Jangan berpaksikan ego dalam bertindak.
Jika rezeki itu untuk kita pasti kita akan memilikinya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
