Hampir 3 minggu semester ini berlalu dan hampir 3 minggu juga pelbagai cerita diukirkan atas kanvas kehidupan ini. Semester ini betul-betul menguji saya untuk menjadi cekal dan tabah.
Masalah subject.
Bermula dengan sesi add/drop yang terpaksa dibut secara manual betul-betul meletihkan. Terpaksa berkejar ke sana sini untuk mencari pensyarah yang sewajarnya. Mungkin langkah tak secergas dulu untuk berjalan namun demi sebuah perjuangan kaki ini harus tegar untuk melangkah. Dan akhirnya semuanya dapat diselesaikan. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Disangka panas hingga ke petang rupanya gerimis di tengah hari. Di kejutkan dengan berita yang saya perlu untuk menambah 2 subjek semester ini betul-betul mengejutkan saya. Sedangkan ini adalah semester terakhir saya. Rundingan dan perbincangan diadakan untuk menyelesaikan hal ini namun kata putus dari pihak mereka terpaksa saya turuti. Hakikat yang perit tapi itulah yang berlaku. Dalam keterpaksaan saya menerima, belajar untuk menerima takdir. Kita hanya merancang namun Allah yang menentukan. Sekali lagi saya terpaksa turun naik general office untuk drop subject agar jumlah contact hour semester ini dan semester depan seimbang. Selama dua minggu menguruskan hal add/drop betul-betul meletihkan saya. Karenah birokrasi kadang memualkan saya. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Kejadian yang tidak diingini
Kesabaran teruji lagi dengan peristiwa yang tidak terjangka langsung boleh berlaku malah tak masuk dek akal, namun manusia punya kemahuan. Andai kemahuan yang berteraskan nafsu itu tidak dikawal ia mampu mengancam orang lain. Put your mind over your emotion. Selama beberapa hari saya terpaksa berulang alik ke security unit. Pelbagai keterangan terpaksa diberi. Ya, saya masih mampu mengukir senyuman namun hati ini makin sakit untuk menahan segala dugaan yang berlaku. Kuatkan hati, hanya monolog dalaman yang mampu saya bisikkan pada hati ini. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Mahallah, MRC, Program
Mahallah juga perlu saya beri perhatian kerana ini adalah tanggungjawab saya. Program perlu berjalan seperti biasa. Kehilangan 2 orang MRC perlu saya galas sementara tugas mereka. Langkah saya makin payah kerana bahu saya makin banyak beban yang terpaksa saya pikul. Tugasan MRC ditambah dengan program-program yang sedia menunggu malah berdepan dengan administrative office dalam menuntut hak-hak warga Ruqayyah memerlukan saya bertindak sewaras mungkin. Berdepan dengan manusia adakalanya membuat kita merasa kecewa dan terluka. Kali ini saya hampir tersungkur untuk terus berdiri. Jangan terlalu banyak meminta kerana saya juga manusia biasa. Jangan terlalu berharap untuk saya selesaikan semua masalah kerana saya juga terikat pada ketidakmampuan. Janji saya adalah untuk melakukan yang terbaik untuk semua. Mempertingkatkan prestasi MRC sekaligus mahallah. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Madrasah
Program madrasah juga berjalan seperti biasa walaupun tanpa dua orang sahabat. Ketiadaan mereka sedikit sebanyak membuat saya rindu pada mereka tatkala saya terpandang pakaian yang biasa kami pakai, tudung yang selalu kami berebut, ya Allah, hati ini betul-betul perlukan semangat dari mereka untuk meneruskan perjuangan yang masih berbaki ini. Benar kata orang, jangan dicari pertemuan andai tidak mahukan perpisahan. Rakan-rakan praktikal dari UUM yang berkongsi rimbunan madrasah juga akan melangkah kembali ke dunia kampus mereka. Studio pasti akan lagi sunyi tanpa gelak tawa mereka. Mereka begitu setia melayani kerenah kami, memberi semangat ketika kami keletihan, berkongsi rasa ketika kami dimarahi, mengajar kami ilmu-ilmu baru, sanggup bersama kami walaupun hingga ke awal pagi. Empat bulan bersama betul-betul melakarkan kenangan terindah bersama. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Kesihatan
Dalam kekalutan untuk melalui hari-hari yang makin menyesakkan jiwa, saya sudah mengabaikan diri sendiri. Saya sudah tidak amanah pada tuan pemilik tubuh ini. Tahap kesihatan saya makin merosot. Jadual makan sudah tak teratur, ubatan yang perlu saya ambil telah terabai dan kesannya saya terpaksa menanggung rasa sakit. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Kemalangan
Dikhabarkan dengan kemalangan yang menimpa individu itu betul-betul mengejutkan saya. Tempat yang sama, waktu yang sama. Kejadian setahun yang lalu berlaku kembali. Kotak ingatan saya terimbau akan peristiwa yang sama. Kehilangannya setahun yang lalu memberi kesan pada saya secara tidak langsung. Bukan menolak takdir yang berlaku tapi sebuah kehilangan amat sakit untuk dirasai. Ya Allah, kuatkan hati ini.
Tiga minggu berlalu namun pelbagai peristiwa duka tercatat didalamnya. Rasa sakit, kecewa, tertekan bercampur menjadi satu. Air mata ibarat kering untuk mengalir. Hati ini pedih menahan segalanya sendirian. Hanya beberapa orang sahabat yang masih setia bersama, berkongsi rasa, berkongsi derita. Untuk diri, setiap ujian yang Allah berikan tu adalah tanda DIA peduli dan sayangkan hambanya. Bersyukurlah, jangan panjangkan keluhan itu kerana DIA tahu hati itu tabah untuk menerima ketetapannya.
No comments:
Post a Comment