Saturday, May 12, 2012

:adik-adikku:

Sejak beberapa bulan menjadi pendidik yang berstatus sementara, banyak benda yang saya pelajari. Balajar erti nilai kesabaran, belajar erti nilai ketekunan, belajar erti nilai menghargai, belajar erti nilai pengorbanan. Segalanya membuka mata saya, agar melihat sesuatu aspek luas dari skop yang sepatutnya. Membuka minda untuk menyelesaikan masalah bukan menambah masalah. Benar, berdepan dengan adik-adik remaja membuat saya sedar bahawa kehidupan mereka sangat berbeza. Mereka hidup dalam dunia yang penuh mencabar. Fenomena yang tak terbayang akan berlaku oleh saya 15 tahun dulu. 

Kita sering dimomokkan dengan salah laku remaja, namun adakah kita lupa akan keterbatasan mereka untuk menilai. Mereka masih samar dalam membina identiti mereka. Misi hidup juga masih kabur. Usah terlalu banyak menyalahkan. Bimbang luka itu makin dalam dan sukar diubati. Sebagai orang dewasa yang mampu matang dalam berfikir, sewajarnya mencari penawar untuk mereka. Bukan menjadi nanah yang tertanam dalam luka itu. 

Adik-adik remaja mahu dibantu andai cara yang digunakan betul. Mereka tertekan. Mereka cuba mencari identiti diri mereka. Namun, kadang-kadang langkah mereka tersasar dari jalan yang sewajarnya. Dekati mereka, belai perasaan mereka, gunakan bahasa yang lembut tatkala berbicara dengan mereka. Sentuh hati mereka sebelum menghukumi fizikal mereka. 

Mereka sudah cukup terbeban, bantulah mereka bukan menyalahkan mereka.

No comments: