Saturday, December 29, 2012

:Rentetan 2012:


Rentetan 2012:

Bulan 1: Saya masih lagi bergelar pelajar degree tahun akhir semester 2 di Universiti Islam Antarabangsa  Malaysia, Gombak. 6 tahun saya menggalas status pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Jangka waktu yang lama saya kira. Lebih sinonim dengan gelaran 'Taman Ilmu dan Budi' ini banyak mengajar saya erti kehidupan. Bercampur dengan pelbagai bangsa dan keturunan, pangkat dan status, kawan dan lawan membuat saya tahu menilai erti kehidupan. Terima kasih kehidupan untuk pengalaman! 


Bulan 2: Selama setahun setengah saya bergelar 'president' kepada salah satu kolej kediaman (mahallah) di IIUM ini dan akhirnya secara rasminya saya telah melepaskan jawatan itu. Alhamdullilah. Terasa ringan beban di bahu ini. Bermula dari kosong dengan pantas saya berlari untuk belajar menjadi ketua. Dalam kekalutan untuk membina kekuatan diri, Allah hadiahkan saya dengan insan-insan hebat. Mengajar, memotivasikan, membantu diri yang lemah ini. Terima kasih kalian untuk jasa baik kalian!

Bulan 3: Langit tidak selalunya cerah, adakalanya Allah akan menguji kita dengan pelbagai dugaan. Demam yang berpanjangan, disahkan mengidapi pelbagai penyakit kronik membuat saya sedar yang hidup ini hanya sementara. Berulang alik ke hospital, klinik adakalanya membuat saya penat dan hilang semangat. Semuanya saya pendam sendirian. Menahan kesakitan di hati lebih perit dari menahan kesakitan akibat tusukan jarum-jarum di hospital. Namun, Allah tahu yang terbaik. Dihadirkannya sahabat yang selalu menemankan diri ini. Saya kutip kembali semangat itu, lalu saya bina tembok kekuatan. Semuanya saya hadapi dengan sabar. Terima kasih sahabat untuk motivasimu!


Bulan 4: Kehidupan ini harus diteruskan. Jalan yang masih panjang untuk dilalui. Alhamdullilah, tawaran sebagai Research Assistant oleh INSTED, saya sambut dengan hati yang gembira. Peluang untuk saya meneroka ilmu Research Methodology. Menukarkan teori untuk menjadi praktikal. Payah pada mulanya tapi itu bukan alasan. Research Officer saya banyak membantu untuk mengajar kanak-kanak yang masih mentah dalam bidang kajian dan penyelidikan ini dan akhirnya research ini berjaya disiapkan. Tahniah untuk semua, dan Terima kasih Kak Nina untuk ilmu yang baru! 

Bulan 5: Akhirnya, saya berjaya menduduki peperiksaan akhir sebagai pelajar degree di IIUM. Sayu hati ini. Adakah perjalanan ilmu saya sampai di sini. Sebak melihat kembali kenangan yang saya telah lalui sepanjang 6 tahun bergelar mahasiswa. wajah pensyarah, officer, sahabat, rakan mula menari-nari di kelopak mata. Terima kasih warga IIUM untuk ilmu yang telah saya pelajari sepanjang bergelar mahasiswa.


Bulan 6: Aku hamba, DIA pencipta. Panggilan telefon yang mengejutkan kami sekeluarga membuat kami tersentak. Nenek telah tiada. Nenek telah bertemu Penciptanya. Kami belajar erti redha. Kenangan bersamamu nenek masih utuh bersama kami. Jenazahnya disemadikan dengan tenang. 


Bulan 7: Panggilan untuk menjadi guru sementara untuk sebuah sekolah swasta saya sambut dengan hati yang ikhlas. Bukan senang untuk menjadi guru tapi lagi payah sekiranya pentadbiran sekolah itu tidak tahu belajar untuk menghargai guru. Pengalaman saya bersama anda membolehkan saya tahu warna sebenar anda.
  

Bulan 8: Belum sempat kami sekeluarga merasai sakitnya sebuah kehilangan kali ini saya sekali lagi kehilangan pak cik bongsu saya. Ya Allah, saya bersamanya di saat-saat hujung nyawanya. Tangisan saya tidak dapat dibendung. Akhirnya dia menghembuskan nafas terakhirnya disisi isterinya. Saya tahu bukan mudah seorang isteri yang baru menginjak usia 28 tahun untuk kehilangan suaminya. Ya Allah, kami diuji lagi. Dalam diam saya menangis sendirian.   


Bulan 9: Guruh dan petir takkan berpanjangan. Allah hadiahkan kami pelangi. Hadir insan-insan istimewa dalam keluarga kami membuat kami tersenyum. Selamat datang ke keluarga besar kami :) Belajarlah untuk menerima kami sekeluarga dengan sabar.


Bulan 10: Ibarat burung yang baru terbang begitulah dengan perniagaan saya. Ia mula belajar untuk melebarkan sayapnya. Belajarlah untuk terbang tinggi walaupun jatuh usah cepat mengalah. 


Bulan 11: Rezeki Allah sentiasa ada untuk hambaNya yang selalu meminta padaNya. Alhamdullilah, saya menerima tawaran bekerja sebagai administrator di sebuah pusat bahasa. Belajar dan terus belajar. Jangan mudah mengalah. DIA tahu yang terbaik untuk hambaNYA.


Bulan 12: Dan akhirnya, saya berjaya mendaftarkan perniagaan saya secara sah dengan SSM. Alhamdullilah, biizniAllah. 

Buat diri,
Bersabarlah dengan ujian, 
Belajarlah dengan kehidupan,
Bertabahlah dengan kesakitan,

Kerana ini akan membuatkan dirimu istimewa.

Selamat Datang 2013. Kita bakal mewarnai 2013 dengan warna-warna pelangi.

1 comment:

Enol said...

May God bless you throughout you life.. :D